Prosa: Audio



Bismillah.

Hari ini Megat, seseorang yang aku ikuti di Twitter, berkongsi sebuah video luahan suara, yang diterbitkan di laman Instagram @dalamtalian (tekan untuk ke laman Instagram mereka). Dalam video lebih kurang satu minit itu, dia luah kerinduannya terhadap arwah ayahnya, yang meninggal dunia lebih kurang setahun yang lepas, terutama sekali suara ayahnya.

Megat kata, kalau rindukan wajah ayahnya, dia boleh sahaja menatap segala gambar yang mereka pernah rakamkan bersama dahulu. Namun, suara ayahnya tidak ada dirakamkan di mana-mana, untuk dibuat melepas rindu.

Aku juga, sebagai seorang yang pernah kehilangan seorang ayah, lihat ramai orang yang berada di dalam tempat yang sama, memberikan komen kepada perkongsian tersebut dengan mengatakan bahawa mereka juga merasakan perkara yang sama. Rindu dengar suara ibu atau bapa yang telah pergi buat selamanya.

Aku pula, sebaliknya.

Papa juga tidak punya banyak rakaman suara, namun adalah beberapa rakaman suara dia melayan cucu sulungnya bermain dengan perakam audio. Semuanya tersimpan di dalam telefon lamanya, yang aku pernah guna sebentar selepas pemergian dia. Aku pernah dengar rakaman suaranya beberapa kali selepas papa pergi, untuk melepaskan rindu, namun reaksi pertama aku ketika mendengarnya; aku tutup rakaman tersebut.

Aku tidak pasti sama ada aku sahaja yang rasa sebegini, tetapi mendengar suara orang yang telah pergi, lebih-lebih lagi orang yang kita sayang, sangat sakit rasanya berbanding dengan menatap gambar-gambar kaku demi mengimbau memori.

Perasaannya seperti mendengar dia hidup kembali, akan tetapi apabila ditoleh-toleh, dia tiada.

Mendengar semula suara Papa membuatkan aku makin rindu, dan terlalu rindu itu tidak bagus untuk aku. Terlalu rindu akan menyebabkan aku tidak lena tidur, dek kerana menangis terkenangkan ayahanda tercinta. Terlalu rindu itu akan menyebabkan aku muram sepanjang hari, dan aku yakin Papa tidak mahu aku hidup sebegitu selepas dia pergi.

Sudah hampir empat tahun, boleh dikira dengan jari-jemari berapa kali aku cuba mendengar rakaman suaranya, terus ditutup telefon dan bangun meninggalkan telefon itu sendiri. Bunyinya seperti aku ini tidak ada perasaan, tetapi percayalah, itu bukan hakikatnya.

Aku bukannya tidak mahu mendengar suaranya kembali, aku cuma tidak mahu diri ini hanyut dalam buaian rindu, lemas dalam fantasi yang suaranya jelas dapat kudengar, namun tidak akan dapat kukejar, meskipun puas aku berdalih dan menoleh, tercari-cari suara sakti.

.




Comments

Popular Posts