CERPEN : Dejavu Melur Putih

Bismillah.

Hai gais. Assalamualaikum.

Lama tak dengar khabar aku en en. Hahaha.

Dua tahun dah. Don't worry, except for few peristiwa yang berlaku sepanjang dua tahun ni, I am absolutely okay and fine. :)

So korang mesti takmau en dengar aku membebel panjang, nanti aku reserve speech aku dalam entry lain.

So enjoy my new cerpen! ;)

...



Dejavu Melur Putih – Izzati Rafiee

                “Cantik tak bunga melur ni?” Kanak-kanak lelaki itu bertanyakan kepada aku. Aku memerhati bunga putih itu di tangannya tiga saat. Entah mengapa, bunga itu langsung tak menarik hati.

            “Tak cantiklah! Kita rasa bunga ros lagi cantik dari bunga putih ni!” Aku mendepangkan tangan sambil mencapai sekuntum bunga ros di halaman rumah orang. “Tengok? Cantik kan? Bunga ros warna pink!” Aku menjerit riang.

            Budak lelaki itu memandangku terpinga-pinga. Perlahan-lahan mata dia teralih ke bunga melur yang dipetiknya.

            “Kalau kita bagi bunga ni kat awak, awak suka tak?” Budak lelaki itu bertanya. Tangannya masih setia memegang sekuntum melur putih. Dia senyum manis, sementara keningnya terangkat, menunjukkan reaksi yang ceria. Aku tergamam melihat senyum dia, entah kenapa seperti tertarik pula dengan dia.

*****

            Terjaga aku dari tidur. Mimpi itu lagi. Mimpi yang menunjukkan aku semasa kecil dan seorang budak lelaki yang sebaya dengan aku. Sudah beberapa kali aku mimpi seperti ini. Aku meraup wajah perlahan. Perlahan-lahan aku memerhati situasi sekarang dalam keadaan separuh sedar. Selepas beberapa ketika, barulah aku dapat mengecam situasi kini.

            Kami dalam perjalanan pulang ke kampung halaman Yaya bersempena cuti pertengahan semester. Yaya merupakan teman sebilik aku di kolej, berasal dari Kedah. Disebabkan aku ini orang KL, aku puas memujuk rayu Yaya supaya membawa aku pulang ke kampungnya. Termakan dengan pujuk rayu aku, dia akhirnya bersetuju. Teruja aku. Aku secara jujurnya, tidak pernah menjejakkan kaki ke kampung. Aku boleh bayangkan suasananya yang amai damai, itu pun aku tonton di kaca televisyen.

            “Yaya, lama lagi ke?” Aku memicit-micit kepala sendiri. Cermin mata berbingkai besarku dibetulkan sedikit. Ya Allah, sakitnya kepala aku. Lama sangat tak jalan jauh, tu mabuk kereta tu.

            Perjalanan dari Selangor ke Alor Setar benar-benar menyeksakan aku. Memang menjadi-jadi mabuk kereta aku kali ini. Kalau dikira-kira, ada lah dalam tiga empat kali kami berhenti sebab aku nak muntah. Naik geram Yaya sebab perangai aku ni telah menangguhkan perjalanan kami.

            Yaya yang sedang memandu mengerling tiga saat sebelum memberi jawapan yang menyeksakan.

            “Lama.”

            Alahai, sudahlah sepatah je yang dijawab. Tiada pula perkataan ‘kut’ yang sedikit sebanyak boleh melegakan hati. Memang jauh lagi perjalanan kami ke Kedah ni ha.

            “Tak apa lah. Nanti dah sampai, kejut aku eh.”

            “Hmmm.” Yaya terus fokus memandu. Aku sekadar memejamkan mata.

*****

            Tangannya menghulurkan bunga melur putih yang dipetik di laman rumah. Aku terpinga-pinga. Tangan menggaru kepala yang tidak gatal.“Apa ni?”

            “Orang bagi dekat awaklah ni. Tak nak ke?” Dia masih menyuakan bunga tersebut. Aku teragak-agak.

            “Buat apa awak bagi kita bunga ni?” Polos aku bertanya. Jariku menguis T-shirt di badan. Tabiat aku apabila kekeliruan.

            Dia menjongket kening. Sebelah tangannya mencapai tangan kananku lalu meletakkan bunga di dalam genggaman. Dia berpaling membelakangiku lalu berjalan meninggalkanku.

            “Orang suka dekat awaklah!” jeritnya kuat membuat pipi aku memerah. Mataku terpejam sendiri, cuba menahan segan yang makin menebal.

*****

            “Filzah. Bangun, dah sampai ni.” Aku membuka mata. Rumah kayu bercat coklat menghiasi mata.

            Spontan aku meraup muka. Ya Allah, mimpi itu lagi. Yaya di sebelah menjongket kening sebelah sambil tangannya menghulur tisu lembap.

            “Nah, buat lap tahi mata, air liur basi dan segala cacat cela di muka hang. Nanti hang juga malu.” Mulut laser Yaya sudah keluar.

            Amboi, perempuan ni. Mentang-mentang dah sampai kampung halaman, terus keluar slanga utara dia tu. Ber’hang hang’ bagai dengan aku.

            “Thanks.” Aku melangkah keluar dari kereta, dan membantu Yaya mengangkat barang. Aku menghirup udara. Segar betul! Tiada bau asap kereta yang menyesakkan dada.

            Mataku meliar melihat sekeliling. Bunga-bungaan hiasan kelihatan cantik disusun di laman rumah. Bervariasi warna. Paling menarik perhatianku, bunga orkid di tepi tangga rumah. Pandanganku teralih ke arah bendang di hadapan rumah. Sekadar dipisahkan dengan tali air dan jalan tidak bertar. Antara tali air dan jalan tersebut, ada sebuah jambatan kayu. Aku jangka sekiranya lima orang ahli sumo berdiri di atas jambatan itu, boleh runtuh agaknya.

            Jakun sangat sampai melalut sampai ke ahli sumo pula aku ni.

            “Sudah-sudahlah tu mengambil udara segar tu. Maii, tolong aku angkat barang. Hang punya beg bukan main berat.” Teguran Yaya menghentikan lamunanku yang sudah melalut.  Aku tersengih. Terus aku mendekati Yaya, lalu memeluknya erat.

            “Sayang kau, Yaya! Akhirnya aku terjejak juga di kampung kau ni.”

            Yaya tersenyum. Bahuku ditepuk-tepuk. “Yalah, aku kesian juga lah dengan hang ni. Duduk bandar tak pernah jejak lumpur.”

            Aku tersengih lagi. Aku terus mengangkat beg bajuku lalu mengekori Yaya yang sudah berada di tangga rumah. Eleh, mana ada berat pun begnya. Aku hadkan tahu baju nak travel kali ni.

            “Assalamualaikum! Mak oh mak! Orang dah balik dah ni!” Yaya menjerit selamba. Oh, balik kampung memang hilang keayuan dan ‘kegadismelayuan’ perempuan ni. Sabar je lah.

            “Waalaikumussalam! Sekejap naa.” Pintu kayu dibuka dan Yaya terus memeluk wanita separuh abad di depannya. “Mak! Yaya dah maii.”

            “Ya ampun, budak ni. Terus diterkamnya aku. Alhamdulillah, sampai jugak hang ni kan.” Ibu Yaya menepuk-nepuk belakang anaknya lalu memandang ke arah aku.

            “Ni kawannya ka?” Ibu Yaya bertanya tatkala aku mulai menyalaminya. Yaya angguk perlahan. “Nama dia Filzah, mak!”

            Telinga terasa bingit. Yaya ni, memang lain benar apabila dah sampai rumah dia. Suara dia naik oktaf yang paling maksimum. Perangai dia nampak semulajadi, dah tiada control-control gadis melayu terakhir dah.

            “Jemput masuk, Filzah. Rumah makcik taklah besar mana.” Ibu Yaya yang mula aku kenali sebagai Mak Ila mengajak aku masuk. Aku tersenyum, sambil kepala menggeleng perlahan.

            “Tak adalah, ini pun dah cukup selesa untuk keluarga makcik. Yaya selalu cerita pasal rumah dia best lah, sejuk lah, terbaik lah. Dapat juga saya jejak rumah kebanggaan Yaya ni.”

            Mak Ila tersenyum senang. Terus dia menjemput aku dan Yaya duduk di sofa ruang tamu. Aku dalam diam sudah bersorak gembira. Langkah pertama apabila menumpang rumah orang sudah aku jayakan. Buat tuan rumah selesa dan senang dengan kita.

            Usai Yaya menyediakan air, kami bersembang rancak. Macam-macam topik dikeluarkan. Daripada perkembangan pengajian kami di universiti sehinggalah termasuk topik Yaya selalu kencing malam semasa kecil. Memang terjerit-jerit lah si Yaya, cuba menafikan  perkaran tersebut.

            Sedang kami galak berbual, terdengar suara orang memberi salam. Entah mengapa, hatiku bergetar sedikit.

            “Amboi, galak betul hangpa sembang. Yaya punya suara boleh dengaq sampai bendang.” Spontan lelaki itu berkata apabila memasuki ruang tamu. Aku mengerling sekejap ke arah lelaki itu. Siapa pula dia ni? Takkan abang Yaya kut. Haritu kata abang dia outstation.

            Muka dia tidak jelas. Usha sipi-sipi macam tu, mana nak nampak muka penuh. Tapi, dari sudut pandangan sisi, boleh tahan ada rupa juga lelaki tak dikenali ni.

            Yaya terbeliak mata. “Hang ada, Yusri? Bila hang sampai? Sedap mulut hang ja mengutuk aku ya.” Yaya memandang ke arah ibunya. “Sejak bila mamat bertuah ni ada kat rumah kita mak?”

            Yusri? Nama yang seperti familiar di otak dan telinga aku. Macam selalu aje dengar. Aku cuba mengerling lagi sebelum kembali menunduk. Alamak, betul-betul mamat ni berdiri kat sebelah sofa. Kalau usha, mestilah kantoi!

            Mak Ila menjeling anak daranya, lantas menjawab. “Dah dua hari. Depa kata stress duduk kolej, tu mai melawat Mak Long dia.” La, sepupu ke mereka ni? Patutlah rapat semacam. Spontan sahaja spekulasi terbit daripada otak.

            “Ni, kawan hang ka, Yaya?” Selamba lelaki itu bertanya berkenaan aku kepada Yaya. Sumpah tidak berdalih langsung. Yaya angguk, lalu menepuk-nepuk bahuku. Hai, sengaja nampak minah ni.

            Ketika itu, baru aku ada keberanian untuk mengangkat muka dan melihat wajah lelaki yang dipanggil Yusri. Mata bertemu mata. Dan ternyata, mataku tersekat dan tidak mampu untuk beralih.

            “Filzah Auliya?

            “Saifullah Yusri?”

            Serentak kami bertanya. Tiga saat, masing-masing mulai tergelak sendiri.

            “Sempitnya dunia!” Spontan Saif menyebut. Aku tersenyum kecil.

            Sungguh aku tak sangka. Aku kini bertemu kembali dengan kawan rapatku ketika sekolah rendah. Kami berkawan dari enam tahun sehingga ke darjah empat, sebelum Saif berpindah kerana ayahnnya bekerja di luar kawasan.

            “Kau menghilang ke mana ha? Puas aku cari kau tahu tak.” Saif sengaja menempelak. Dahiku berkerut. What the? Dia kata aku yang menghilang?

            “Aku pula yang menghilang? Kau yang hilang jejak bertahun-tahun. Aku dari kecil sampai sekarang still duduk kat situ tau.”

            Yaya dan Mak Ila terpinga-pinga. Melihat wajah mereka, selamba aku dan Saif tergelak. Kelakar pula apabila bertekak sebegini, seperti zaman kecil dahulu.

            “Sebenarnya Mak Long, kami kawan masa kecil dulu. Lama tak jumpa, tu excited tu,” jelas Saif. Aku mengangguk-angguk. Semasa Saif menyebut perkataan ‘kami’, hatiku bergetar hebat. Entah kenapa, aku sendiri tak pasti.

*****

            Aku bergolek-golek di atas katil. Teringat pertemuan aku dengan Saif tadi. Tersenyum sendiri aku. Jujur aku gembira. Bertemu kawan lama, siapalah tidak teruja. 13 tahun tidak jumpa.

            Alahai, rasa haus pula tekak ni. Aku terus mencapai tudung hitam ekspres lalu disarungkan ke kepala, lalu menuju ke dapur. Mencari pembasah tekak.

            Senyap sahaja rumah ini. Tentu semua orang sudah tidur. Aku dan Yaya tidur berasingan. Katanya, dia dah rindu benar dengan bilik dia tu. Aku ikutkan saja. Malas mahu berbalah. Lagipun, kalau tidur seorang lebih ada privasi. Aku mencapai gelas lalu diisi dengan air kosong. Langkah kuatur kembali ke bilik tidur.

            Belum sempat kaki melangkah masuk ke dalam bilik, telingaku menangkap bunyi petikan gitar, membentuk sebuah irama lagu. Terus kaki aku menapak ke arah ruang depan rumah. Mengikut sahaja arah irama tersebut. Pintu rumah ternganga. Tentu si pemetik gitar ada di luar.

            Tatkala menjengah ke luar pintu, susuk tubuh lelaki yang sedang memetik gitar menghiasi mata. Wajahnya aku perhati. Feeling sungguh! Sementelahan, irama lagu semakin merdu.

            Aku tahu lagu ni! Senyumku mulai terukir.

Beribu bintang di langit kini menghilang 

Meraba aku dalam kelam 
Rambulan mengambang kini makin suram 
Pudar ilham ku tanpa arah 
Sedikit wajahmu muncul dalam diam 
Ada kerdipan, ada sinar 
Itukah bintang atau rambulan 
Terima kasih ku ucapkan 
Izinkan ku mencuri bayangan wajah mu 

Izinkan ku mencuri khayalan dengan mu 
Maafkan lah...Oohh... 

Andai lagu ini mengganggu ruangan hidup mu 
Kau senyumlah ... Oohh... 

Sekadar memori kita di arena ini 
Kau ilham ku 

Kau ilham ku


            “You’re singing the same song since we were little.” Aku sengaja bersuara apabila dia habis menyanyi.

            Saif toleh belakang. Riak wajahnya jelas terkejut melihat kehadiran aku namun dia cuba berlagak tenang. “Kau ingat lagi?”

            Aku mengangguk kecil sebelum mengambil tempat di muka pintu. Mug yang dipegang aku hirup sekali. “ Lagu Kau Ilhamku. Man Bai. Kan?”

            Saif tersengih. Gitarnya dipetik sekali. “Betul. Tak sangka kau ingat.”

            Aku tergelak kecil. Dia ingat semudah itu aku lupakan kawan?

            “Kau selalu nyanyi lagu tu masa kita lepak kat tepi bukit tu. Baring atas rumput, lepas tu duk karaoke bagai nak rak. Gila jiwang kau  masa tu.”

            Hampir tergelak aku ketika itu. Teringat aku dan dia melepak di kaki bukit, membawa kerja sekolah dan buku rujukan untuk mengulang kaji. Alasan kami melarikan diri ke situ adalah di rumah tiada keamanan untuk belajar, kononnya. Ketika itulah, Saif mulalah melalak tak tentu pasal, konon untuk hilangkan rasa mengantuk belajar. Lagunya sama, lagu yang dinyanyikannya tadi.

            Spontan Saif tergelak. “Sumpah kau ingat! Malu la aku.”

            “Sekarang pun kau jiwang lagi! Tapi, dulu suara macam katak puru lah. Sekarang dah macho sikit. Kau pergi berguru dengan Ajai eh?” Aku sengaja loyar buruk. Tapi, apa yang aku cakap tu betul, suara dia makin merdu.

            Saif tersengih. Dia mengangkat gitarnya tinggi, acah-acah mahu memukul aku.

            “Sumpah kau tak renew lagi insuran mulut kau! Dari dulu sampai dah besar sama je!” Saif bangkit dari tempat duduknya. Gitarnya dipetik perlahan. Sesekali pandangannya jatuh ke arah kucing Mak Ila yang sedang mengendap sesuatu.

            “By the way, sejak bila kau jadi nerd ni, Auliya? Dulu pun kau pakai spek, tak adalah se-nerd yang ini.” Meluncur soalan maut dari bibir Saif. Mataku terus membulat. Nerd dia cakap?

            Aku terus bangkit, bercekak pinggang. “Kepala kau! Hello, trend kan sekarang pakai spek bingkai besar. Tak up-to-date lah kau ni. Dan boleh tak kau  jangan panggil aku Auliya?!”

            Selamba badak dia sahaja mengutuk aku punya spek. Dia ingat dia tu stylo sangat dengan gitar dia tu?

            Walau bagaimanapun, aku terhibur dengan kerenahnya. Saif masih tidak berubah dengan mulut lasernya. Dan juga impian dia. Impian dia untuk mempunyai sebuah gitar. Sudah tercapai nampaknya.  Lelaki itu masih lagi memanggil aku dengan nama Auliya. Nama yang sememangnya jarang orang gunakan. Entah kenapa, aku tidak gemar dipanggil dengan nama itu.

            13 tahun, bukanlah jangka yang sekejap. Saifullah Yusri masih lagi sama, tidak berubah walau seinci pun.  Aku tersenyum sendiri melihat lelaki itu sedang mengusap kucing putih milik Mak Ila.

            “Saif, nak request lagu boleh? Last la before aku pergi tidur.”

            Entah kenapa aku meminta sebegitu. Suka pula aku dengar suara serak basah si Saif ni.

            “Cik Auliya nak lagu apa? Biar Saifullah Yusri yang budiman dan tampan nyanyikan.” Keningnya dijongket sebelah. Aku mencebik. Bajet gila lah mamat ni!

            “Kau pandai lagu apa?” Aku tanya. Yalah, karang aku request tak reti, aku jugak yang makan hati. Saif tersenyum sendiri. “Oklah, disebabkan dah nak tidur, aku bagi kau lagu ni eh.”

            Gitar dia petik, suara gemersiknya keluar membuatkan aku hanyut.

Biarkan berlalu
Semua kepedihanmu
Lelapkan matamu
Biarkan mimpi membawamu
Ke mana kau mahu
Selamat malam
Tidurlah sayangku
Siangkan tiba bercahaya
Bermula baru semua untukmu

            “Selamat malam, Auliya.”

*****

            Angin yang sepoi-sepoi bahasa membuatkan aku rasa ingin terbang. Seronok rasanya apabila pipi ini ditampar-tampar lembut oleh angin. Pandanganku dialihkan ke arah langit. Bentuk awan yang sangat menarik membuatkan aku semakin ralit memerhati awan biru itu.

            Sambil itu, jemariku ligat menarik benang layang-layang. Spontan awan biru yang diperhati tadi sudah dihiasi dengan sebuah layang-layang biru yang berekor kuning. Perlahan aku menarik layang-layang tersebut agar kedudukannya sentiasa stabil.

            “Tinggnya terbang, Filzah!” Yaya menepuk bahuku yang sedang ralit memerhati layang-layang. Aku tersengih. Yaya sibuk menarik benang layang-layang, mahu bermain juga lah itu.

            Aku serahkan buku benang kepadanya, malas pula dengan mahu melayan perangainya yang berkias-kias. Nak main cakap je lah. Macam lah aku tidak mahu bagi.

            Yaya menyeringai, menampakkan giginya yang putih dan tersusun rapi. Aku terus berlari anak ke arah pangkin di tepi bendang itu. Sedulang pisang goreng tersedia di atas pangkin tersebut membuat aku tersengih lebar.

            Ini mesti Mak Ila yang goreng tadi. Aku capai satu sebelum ada tangan lain yang merampas pisang goreng itu dari tanganku.

            Spontan aku angkat kepala. Cis, mamat ni memang tak tahu malu.

            “Kau memang tak tahu adab kan?” Aku perli, geram.

            Saif sekadar buat muka bodoh, mengjongket bahu. Mulutnya mengunyah pisang goreng aku tadi.

            “Tak pergi main ke? Tadi jakun sangat nak main.” Saif memulangkan buah paku kerasnya. Aku menjelingnya. Ya Allah, rasa nak hempuk mamat ni pakai tudung saji biar muka dia jadi berbenjol-benjol macam bola.

            “Yaya nak main pulak.”

            Aku sengaja menjawab ringkas. Malas mahu berbalas kata dengan mamat ini.

            “Okay Auliya, memandangkan kau macam tak nak main layang-layang, meh ikut aku!” Saif mengajak riang. Dia mula berdiri, meregangkan sedikit badannya. Keningku terjongket sebelah.

            “Where to go?”

            Saif tersenyum lebih lebar. Keningnya terangkat sebelah.

            “Adalah!” Dia ketawa sambil melajukan langkahnya, membuatkan aku tersemput-semput mengejar langkahnya.

*****

            Gerun aku melihat objek yang ada di hadapanku. Retina mataku sekadar mengekori Saif yang sedang mengusap kepala kerbau itu. Kata Saif, kerbau ini sudah agak tua. Saif memang menjaga kerbau itu semenjak di sekolah menengah lagi.

            “Maii lah try tunggang Atan!” Saif sudah berada di atas tubuh Atan sang kerbau. Aku masih lagi tercegat, memerhati kerbau besar ini.

            “Takutlah!” Aku terus jujur. Saif tergelak kecil. Terus dia lompat turun dan mendekati aku. Tangannya mencapai pergelangan bajuku, menarikku mendekati Atan. Semakin dekat aku dengan Atan, makin menggeletar tubuhku.

            “Mai la sini. Tak ada apa-apa lah. Atan ni baik, dia tak makan orang.” Saif gelak lagi. Gigi putihnya yang terbaris rapi terserlah setiap kali dia ketawa. Aku menjeling dia dua saat, lantas mencebik.

            “Kerbau memang tak makan orang la sengal, kau dah kenapa? Dah nama haiwan herbivor,” kataku sambil mengangkat penumbuk. Sengaja diacahkan kepada Saif.

            “Ha pandai pun cik Auliya saya ni. So buat apa nak takut?” Dia tertawa lagi. Cik Auliya saya? Angin sejuk meresap ke hati tatkala mendengar sebaris ayat itu disebut. Aku mendengus kasar sebelum mengalah.

            “Okaylah aku naik. Tapi dengan satu syarat. Kau kena tolong aku carikan something.” Aku menggoyangkan jari telunjuk aku ke arahnya.

            “Wah, dah macam Puteri Gunung Ledang, siap bersyarat bagai. Ha, cik Puteri Auliya Ledang nak cari apa?” Dia membongkokkan badan ala-ala gentleman. Aku mencebik. Mamat ni kalau tak loyar buruk sehari, tak hidup agaknya.

            Perlahan-lahan, aku merapati telinganya dan membisikkan sesuatu.

            “Carikan aku bunga melur boleh tak?”

            Aku tersenyum sebaik sahaja aku menjauhkan bibirku dari telinganya. Langsung aku menoleh, segan mahu melihat reaksinya. Sejak azali, aku memang tidak gemarkan bunga melur. Entah kenapa, aku sendiri tidak pasti. Saif juga maklum tentang hal ini.

            “Hah?” Saif terpinga-pinga. Aku gelak melihat reaksinya. “Nanti aku cerita, sekarang ni aku nak panjat Atan!”

            Perlahan-lahan aku memanjat Atan. Mula-mula, menggeletar juga aku. Namun, melihat Atan langsung tidak memberikan reaksi yang agresif, aku cepat-cepat menunggang kerbau tua. And tadaa! Aku sudah berada di atas Atan!

            “Eh betul la Atan tak marah pun la!” Aku menjerit keriangan. Senyumanku meleret di bibir. Mataku menjamu pemandangan sawah padi yang tampak lebih indah apabila aku menunggang Atan. Tanganku mengusap tubuh Atan perlahan.

            Seketika kemudian, pandanganku teralih ke Saif yang ralit mengusap kepala kerbau tua itu. Dia tersenyum manis ditambah pula dengan rahangnya yang sempurna melengkapkan kemanisan wajahnya. Aku ikut tersenyum, senyumannya ternyata berjangkit.

*****

            “Kau jumpa tak bunga melur aku?” ujarku tatkala kami duduk di pangkin di tepi bendang. Lirikan mataku terarah kepada adik-adik sepupu Yaya yang sibuk bermain dalam lumpur untuk menangkap ikan. Yaya sekadar berdiri di tepi sawah, becok memberi arahan dan dorongan kepada mereka. Saif di sebelahku sibuk memetik gitarnya, memainkan melodi yang aku sendiri tidak pasti.

            Matahari sudah perlahan-lahan menyembunyikan diri, menunjukkan sudah hampir petang. Angin yang bertiupan cukup sepoi-sepoi bahasa, hampir membawa aku terbuai dengannya. Petang yang indah, getus hati kecilku.

            “Auliya hmm, kenapa eh kau suruh aku cari bunga melur? Kan kau tak suka bunga melur putih.” Saif akhirnya bersuara, sedikit gagap. Aku perasan petikan gitarnya terhenti sekejap. Terus aku toleh, melihat wajahnya yang sudah kemerahan. Dia cuba untuk mengelakkan daripada mata kami bertemu.

            Aku tergelak kecil mendengar pertanyaan dia. “Dulu memang la, sekarang ni aku jadi suka pulak.”

            Saif mula menoleh ke arahku. Dahinya berkerut. Meminta jawapan dari aku.

            Aku bangkit, tanganku didepangkan bagi merasai dinginnya angin.

             “Akhir-akhir ni, aku asyik termimpi, ada seorang budak laki beri bunga melur kat aku. Macam memori masa kecil aku, cuma aku tak ingat. Masa tu maybe umur aku dalam 4-5 tahun macam tu. Aku cakap dah kat dia yang aku tak suka bunga melur but then he insisted.

            “Lepas itu kan, bila aku tanya dia kenapa dia bagi aku bunga melur tu... kau tahu tak dia balas apa?”

            Aku toleh ke wajahnya dengan senyuman meleret di bibirku. Dia mengerlingku sekejap sebelum cepat-cepat mengalih pandang ke arah gitarnya. Wajahnya memerah lagi sekali, entah kenapa aku juga tidak pasti. Jemarinya spontan memetik gitar, menghasilkan melodi yang sangat spontan. Melihat Saif yang tidak endah dengan pertanyaanku, aku mula menyambung kata sambil menyimpul senyum.

            “Dia kata...”

            “...Orang suka dekat awaklah..”

            Suara tenang Saif mencelah tiba-tiba, membuatkan aku terpana. Perlahan-lahan aku toleh, bibirku seakan kelu tanpa suara. Jemariku menguis t-shirt di badan, seakan dejavu.

            Entah bagaimana, sebaik sahaja aku menoleh, aku lihat dia, Saifullah Yusri menghulurkan bunga melur putih kepadaku. Dirinya sangat selamba, tangan kanan menghulur sementara sebelah lagi di dalam poket seluar treknya. Pipinya sedikit memerah, namun nada suaranya kekal tenang.

            “Orang suka dekat awaklah, Auliya.” Dia sudah bangkit berdiri menghadap ku, tangannya masih menghulur bunga melur putih yang kuminta. Aku masih terpaku, tidak percaya dengan apa yang berlaku.

            “Aku suka dekat kaulah, Auliya.” Saif tersenyum manis, keningnya terangkat sebelah, menunjukkan reaksi yang ceria. Dejavu. Seperti dejavu, ada lelaki yang memberikan bunga melur putih kepadaku dan menyatakan rasa sukanya kepada aku.

            “Kau ke..?” Aku tidak dapat meneruskan kata-kata. Budak lelaki yang pernah menghulur bunga kepadaku berpuluh tahun dahulu ialah... Saif?

            Saif mengangguk perlahan, sementara bibirnya masih mengukir senyum. “Masa pertama kali aku beri kau bunga melur putih tu, kau comel sangat, bertocang dua. Aku perhatikan saja kau tengok bunga-bunga tu. Aku jatuh suka, padahal masa tu kita baru 4 tahun. Aku beri kau bunga melur putih, walaupun awal-awal tu kau dah reject aku.”

            Di hujung ayat, kedengaran Saif tertawa kecil. Aku masih mendiamkan diri, ingin mendengar luahan hati Saif.

            “Bila  masuk prasekolah, aku tak sangka kita akan berkawan baik. Kau pun nampaknya macam tak ingat aku atau bunga melur yang aku pernah bagi tu, jadi aku biarkan je lah. Aku dalam diam, aku simpan perasaan pada kau. Tapi, aku tak berani nak bagitahu kau. Sebab nanti kau reject aku lagi.

            “Bila aku pindah, melepaslah peluang aku nak luah perasaan. Aku tak sempat nak jumpa kau sebelum aku pindah. Aku cuba cari cara untuk hubungi untuk cari kau, tapi alamat rumah kau pun aku lupa nak salin. Disebabkan kecuaian aku yang melampau ni, kita pun lost contact.”

            Saif berhenti bercakap lalu memandangku. Dia melangkah setapak ke hadapan, mengecilkan jarak antara kami.

            “Tapi, ada satu benda yang kau patut tahu.”

            Mendengar sebaris ayat itu membuatkan aku mendongak, memandang wajahnya yang tenang.

            “Dari pertama kali kita jumpa sampailah ke hari ini, perasaan aku tak pernah berubah, dan aku masih sukakan kau. Bahkan rasa suka tu dah upgrade kepada rasa cinta. Aku betul-betul jujur dan ikhlas cintakan kau, Auliya.” Saif menyuakan bunga melur putih itu kepada aku, mengharapkan respon dariku.

            Aku terpana dan aku terharu. Penjelasannya begitu ikhlas, sehingga setiap bait perkataannya menyentuh lubuk hatiku. Tanganku perlahan bergerak ke tangannya, menyambut bunga melur putih simbol cintanya kepada aku.

            Melihat situasi tersebut, matanya terbuntang. Bergilir-gilir dia memandang wajahku dan tangannya yang sudah tiada bunga itu. “Sungguh lah?”

            Aku mengerutkan dahi. “Apa?”

            “Sungguh lah kau terima aku?” Wajahnya masih tidak percaya, membuatkan aku hampir tergelak dengan kelakuannya itu. Aku angguk sedikit sebelum terus membelakanginya. Aduh, kenapa tiba-tiba rasa malu pula ni?

            “Yahoooo! Yaya, dia terima aku! Korang, dia terima aku!” Saif sudah terlompat-lompat keterujaan, memberitahu satu sawah bahawa aku sudah menerima cintanya. Yaya dan adik-adik sepupunya terpinga-pinga, tidak tahu-menahu tentang apa yang telah berlaku antara kami berdua.

*****

            “Ala, kau nak balik dah ke..?” Saif menguis-nguis pasir di atas tanah, menunjukkan bahawa dia keberatan untuk berpisah. Aku tersenyum melihat gelagat dia. Setelah dia mengangkut bagasi aku dan Yaya ke dalam kereta, dia masih mendiamkan diri, langsung tidak mahu mengatakan apa-apa.

            Aku tidak menghiraukan gelagat dia. Mengada, dah besar panjang pun buat perangai budak-budak lagi, getus hati kecilku. Terus aku menyalami Mak Ila.

            “Mak Ila, terima kasih bagi tumpang duduk rumah. Halalkan makan minum ya. Selesa sangat rumah Mak Ila ni.” Aku mengukir senyum. Mak Ila menepuk-nepuk bahuku.

            “Haish, tak ada apa-apa lah. Semua makcik halalkan. Senang-senang nanti, Filzah datanglah lagi eh. Tak ada lah budak sana tu meragam macam budak kecil,” usik Mak Ila sambil menunjuk ke arah Saif yang sedang memetik gitar di pangkin. Aku tergelak kecil.

            Semenjak Saif meluahkan perasaan, hampir satu keluarga Yaya sudah tahu tentang kami berdua. Sibuk si Saif menjaja cerita tentang kami. Yaya, perangai dua kali lima. Makin kerap dia mengusik aku, tidak kira masa dan tempat.

            Seusai menyalami Mak Ila, aku perlahan-lahan mendekati lelaki tersebut. Seakan menyedari bahawa aku semakin dekat, Saif cepat-cepat membelakangi aku. Aku hampir tergelak. Acah merajuk la tu.

            “Saif.”

            “Hm.”

            Uish sepatah macam tu sahaja dia menjawab. “Saif..”

            “Hmm.”

            Melihat keadaannya sebegitu, nakal pula aku rasa hendak mengusik dia.

            “Awak?” Aku memanggilnya dengan lembut.

            Dari belakang, aku lihat dia seakan tersentak dan memberikan respon spontan. “Ya, saya?” Posisi tubuhnya sudah menghadap aku kembali, tidak seperti tadi. Wajahnya merah padam.  Reaksi wajahnya seakan terkejut tetapi masih cuba untuk mengawal air muka.

            Langsung aku tertawa besar, melihat dia yang menggelabah apabila dipanggil sebegitu.

            “Ha kan senang pandang aku macam ni.” Aku tersenyum puas. “Janganlah macam ni. Nanti kita jumpa lagi ya?” Aku mempamerkan senyuman manis. Saif kembali mencuka, lengan sasanya memeluk tubuhnya.

            “Aku nak tanya something ni. Boleh tak, Saif?”

            “Hm, apa dia?” Nada suaranya seperti dia malas hendak melayan aku.

            “Kenapa kau panggil aku Auliya? Kau seorang saja yang panggil aku sebegitu.” Pertanyaan aku menyebabkan bibirnya mula menyimpul senyum. Aku terpinga-pinga, namun tetap setia menanti jawapan darinya.

            “Kau tahu tak maksud nama Auliya tu apa?” Dia mengerlingku sambil tersenyum senget. Keningnya diangkat sebelah iras-iras Ziana Zain.

            Aku menggeleng. Seumur hidup aku, aku tidak pernah tertanya-tanya hendak memeriksa maksud nama aku sendiri. Yang aku tahu, aku tidak suka orang panggil aku dengan nama Auliya. Kecuali, Saif.

            “Auliya tu dalam bahasa Arab ada banyak maksud. Maksud dia boleh jadi mulia atau agung. Tapi dia ada satu lagi maksud yang aku rasa menjadi sebab untuk aku panggil kau dengan nama tu.” Saif tersenyum manis, merenung mataku dalam.

            Aku berdehem. “Apa eh maksud dia?”

            “Maksud nama Auliya ialah... kekasih.” Dia tersenyum sambil memetik gitarnya memainkan lagu zaman kecil kami, Kau Ilhamku.

            Entah kenapa saat itu, aku dapat rasakan pipi aku membahang. Cepat-cepat aku lari, memasuki kereta Yaya, menyuruhnya untuk cepat-cepat meninggalkan rumah Mak Ila. Ya Allah, malunya!

            “Hang ni dah pasai pa? Pipi merah, badan panas. Demam ka?” ujar Yaya sambil memasang tali keledar. Aku terus-terusan menutup muka dengan kedua-dua tapak tanganku. Bahang sungguh ni muka.

            Tidak lama kemudian, ada ketukan di tingkap pintu kereta di sebelahku. Kudengar Yaya menekan punat untuk menurunkan tingkap. Di celah-celah jari jemariku, retina mataku menangkap susuk tubuh Saif sebelum dia berkata.

            “Awak, orang sayang dekat awak tau. I love you, Filzah Auliya!”

TAMAT


#Author's note:

Hahahahahahahaahhahahaha. Drop your comments below!

Rak lu, pape roger. xx

Comments

Popular Posts