CERPEN : Kaunselor Cintaku !
Petang itu, aku membuat keputusan untuk mengambil angin di luar rumah. Sudah begitu lama terperap di dalam rumah, makin berisi pula aku nanti. Lama sangat tidak keluar rumah, aku sehingga tidak tahu hendak buat apa. Tapi kalau merempit petang-petang ni pun seronok juga. Mountain bike yang sekian lama bersandar di dinding itu aku capai.
Tiba di selekoh, aku terlihat susuk tubuh yang amat aku kenali. Dengan penuh tenaga, aku mengayuh basikalku selaju boleh bagi mengejar motosikal berwarna merah itu. “Rafique!”
Dari jauh, aku melihat motosikal tersebut berhenti di tepi jalan. Aku tersenyum gembira. Pantas aku mendekati lelaki itu. Melihat wajahnya yang sugul itu, membuatkan aku kehilangan kata. Mana mungkin peserta bahas kebanggaan sekolah boleh kehilangan kata?
“Hai, Rafique. Jauh jalan?” Aku cuba mememecahkan kesunyian. Rafique hanya mengangguk perlahan. Lemah sekali. Aku merenung wajahnya lima saat. Rindu pula aku akan wajah ceria Rafique selama ini.
Dahulu, Rafique sememangnya dikenali sebagai seorang yang ceria dan happy-go-lucky di sekolah. Senyuman sengetnya yang sentiasa terukir di bibir itu amat disenangi semua orang. Jejaka sweet talker sepertinya menyebabkan ramai perempuan tergila-gilakannya. Namun disebalik segala keceriaan itu, siapa sangka jejaka kacak itu mempunyai masalah keluarga yang kronik. Dirinya yang merupakan anak ketiga daripada empat orang adik beradik itu acap kali dipinggirkan dan disisihkan keluarga. Disebabkan rasa kasihan yang mendalam, aku menawarkan diri untuk mendengar segala luahan hatinya.
“Hey Rafique. If you need a pair of ears to hear your story, my ears are ready.” Buat sekelian kalinya, aku menawarkan diri untuk menjadi kaunselor tidak bertauliahnya. Wajah Rafique berubah mendengar kata-kataku. “Jom ikut aku.” Sebaris ayat akhirnya dtuturkan dari bibirnya. Aku mengekori motosikal tersebut tanpa banyak tanya.
……………………………..
“Oh begitu. Aku bersimpati pada kau. Tabahkan hati dan banyakkan bersabar ya?” Kata-kata yang sama aku ucapkan setiap kali dia meluahkan masalahnya kepadaku. Aku masih belum mampu untuk menganalisis masalah seperti kaunselor-kaunselor profesional, jadi hanya itu saja yang mampu diungkapkan. Maaflah Rafique, kalau kau bosan.
Rafique merenung wajahku. Lama sekali. Aku jadi tidak senang duduk. Pandanganku teralih ke arah sekumpulan kanak-kanak yang asyik bermain riang di taman permainan tersebut. Oh ya, aku dan Rafique sedang berada di taman permainan di kawasan perumahan aku. Jangan fikir aku pula yang bermain riang di situ.
Sekian lama aku tidak menjejakkan kaki di taman ini. Kali terakhir, ketika aku berusia 14 tahun. Itupun kerana menemani anak saudaraku yang masih kecil. Taman ini sudah banyak yang berubah. Dahulu taman ini kecil dan tidak banyak kemudahan. Namun begitu, taman tersebut sentiasa padat dan ramai kanak-kanak berkejar-kejar. Kini, buaian-buaian yang dahulu kebiasaannya menjadi barang rebutan, kosong tanpa sesiapa yang menghayunnya. Monkey bar berwarna kuning itu dahulunya kerap menjadi tempat kanak-kanak mencari pengalaman untuk menjadi monyet. Sekarang apa yang dapat dilihat hanyalah sekadar monkey bar. Tiada lagi ‘monyet-monyet’ yang bergayutan di situ.
“Mesti kau letih kan dengar masalah aku kan, Sofie? Kau tak patut buat semua ni. Patutnya, masalah aku tak boleh dicerita pada sesiapa,” ujar Rafique tiba-tiba. Senyuman kecil terukir di bibirnya. Aku menggeleng laju. “Aku tak kisah.”
“Menipu. Mulut kata lain, hati kata lain. Bersalah pula aku susahkan kau macam ni.” Dia meraup wajahnya berkali-kali. Rambut yang sedikit kusut dirapikan dengan tangan. Seperti tidak sakit tengkuk, aku menggeleng lagi. Menafikan segala kata-katanya.
“Mana ada. Aku tak kisah. Wallahi (demi Allah) tak kisah. Kita kan member. Kena saling tolong-menolong.” Di hujung kata, aku tergelak kecil. Terbit senyuman sengetnya di bibirnya. Aku terpana seketika. Sudah lama benar aku tidak melihat senyumannya.
Rafique bangkit dari bangku yang disediakan. Dia menggaru kepalanya sedikit lalu menoleh. “Terima kasih sebab sudi dengan masalah aku. I really, really, really, really appreciate that. Wallahi.”
Mendengar kata-katanya, jantungku mula berdegup laju. Hati mula rasa tidak selesa. Terasa seperti ada jurusolek profesional yang sukarela mahu menyapukan pemerah pipi di pipi!
“Okeylah! Aku balik rumah dulu! Dah nak maghrib. Assalamualaikum!” Dia berlalu menuju ke arah motosikalnya. Mataku mengekorinya sehingga motosikal merah itu hilang dari pandanganku.
…………………………
Aku sedang asyik bersembang-sembang dengan ayah tentang kursus yang aku ambil di universiti. Memandangkan kursus psikologi mempunyai banyak cerita menarik, tak menang mulut aku bercerita kepada ayahku. Dan sememangnya ayah aku minat untuk mengkaji tentang manusia.
“Assalamualaikum!”
Jantungku yang normal sebentar tadi mula berdegup laju semacam. Ah, macam kenal saja suara tu. Aku pantas mencapai tudung hitam kecilku dan menjenguk di muka pintu.
“Hai!” Senyuman senget Rafique menghiasi mataku. “Hai dan apa masalah kau datang petang-petang macam ni?” Aku menyambut kedatangannya dengan ‘ramah’. Dahinya sengaja dikerutkan tanda hairan. Matanya dikecilkan tanda tidak puas hati. Aku menghembus nafas menyampah.
“Sofie, jemputlah si Fiq tu masuk. Kasihan dia bersidai kat luar.” Hah, inilah susahnya bila dapat ayah yang sangat peramah. Semua kawan aku dilayannya dengan begitu baik. Memandangkan si Rafique ni tahu aku ada ayah yang baik, selalu sangat dia ambil kesempatan. Rafique melangkah masuk ke dalam rumahku dengan senyuman kemenangan.
“Apa khabar uncle?” Rafique sekadar berbahasa. Aku menjelingnya sekilas. Aku terus beralih ke dapur bagi menyediakan minuman untuknya.
“Alhamdulillah, sihat macam tu lah.”
Aku mendengar perbualan mereka dari ceruk dapur. Kedengaran mesra dan menyeronokkan. Ternyata ayahku seronok bersembang dengannya. Tambahan pula, akhir-akhir ni ayah kerap kebosanan. Abangku, Shazrul sibuk dengan pekerjaannya. Sudah tiada lelaki lain di dalam rumah ini melainkan ayah. Tiada teman untuk bercerita tentang hal lelaki.
Mungkin bagi menghilangkan bosan ayah, aku patut selalu mengajak Rafique datang ke rumah. Haish! Apa yang aku merepek ni? Membebel pula ibu aku nanti.
“Terima kasih, Sofie,” ujar ayah apabila aku membawa air ke ruang tamu. Aku hanya mengangguk kecil. Selesai minum, ayah bangkit pergi ke ruang kerjanya. Memberi ruang untuk kami berdua berbicara. Memberi peluang untuk Rafique meluahkan masalahnya.
“Aku dah tak tahu nak buat macam mana dah, Sofie. Aku tertekan duduk di rumah tu. Kalau boleh, setiap kali cuti semester aku tak nak balik. Letih,” luah Rafique dengan sekali nafas. Wajahnya yang ceria sebentar tadi berubah menjadi sugul. Wajahnya diraup perlahan.
Aku menilik wajahnya lama. Melihat wajahnya yang tertekan, membuatkan aku bersimpati kepadanya.
“Baru-baru ini, papa cakap pada aku. Kalau aku melawan lagi cakap dia, aku akan dihalau dari rumah. Aku, aku dah tak pasti berapa lama aku boleh duduk rumah tu.” Riak wajahku ternyata berubah mendengar kata-katanya. Dihalau? Amboi, melebih nampak papa si Rafique ini.
“Jadi, apa keputusan kau? Kau tak mahu cari rumah sewa ke? Lebih baik kau keluar dari rumah tu sebelum kau dikeluarkan dari rumah tu.” Pergh, ayat aku. Bukan main lagi.
“Memang itulah cadangannya. Tapi aku takut aku makin dicaci,” keluh Rafique.
“Rafique, dengar cakap aku. Apa kata kau slow talk dengan mereka? Insha Allah, mereka akan lembut hati. Aku doakan kau dari sini.” Di hujung kata, aku tertawa kecil. Terasa lucu dengan kata-kataku sendiri.
“Baiklah! Aku akan buat macam tu. Kau janji kau akan doakan aku tau,” ujar Rafique lagak budak kecil. Aku mengangguk kecil sambil ketawa. Rafique mempamerkan senyuman sengetnya.
Keadaan kini sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi kipas berpusing diiringi bunyi alunan muzik dari radio. Aku memandang ke arah ayah aku di ruang kerja. Tentu saja ayahku memahami situasi tersebut. Oleh itu, agak mudah untuk kami berbicara berdua tanpa sebarang gangguan.
“Rafique.”
“Hmmm?” Dia mengangkat wajah.
“Kenapa kau boleh ceritakan segalanya kepada aku ya? Maksud aku, kenapa kau pilih aku?”
“Let say aku adalah klien pertama kau.”
“Klien kepala kau. Aku belum officially jadi kaunselor lagi lah.” Dia memang maklum dengan cita-citaku untuk menjadi seorang kaunselor.
“So, kau rasa kenapa?”
Aku sekadar menjongket bahu. Sebarang andaian tidak langsung terlintas di otak.
“Sebab aku percayakan kau. Sangat percaya sebenarnya,” ujar Rafique jujur. Riak wajahku terus berubah. Mataku menoleh ke arah ayahku yang sedang tersengih nakal. Sah, ayah aku dengar apa yang dia cakap.
Rafique pantas bangkit dari tempat duduk apabila menyedari jarum pendek di jam sudah hampir mendekati angka tujuh. Dia mendekati ayahku lalu menyalaminya.
“Aku balik dulu, Sofie. Terima kasih sebab dengar cerita aku. Uncle! Saya balik dulu ya! Assalamualaikum.”
Serentak aku dan ayah menjawab salam. Saat aku mahu mengangkat cawan ke dapur, ayahku berdehem-dehem sambil tersengih.
“Apa ayah?” Aku sengaja buat tidak tahu. Ayahku terus berdehem-dehem. Aku melangkah masuk ke dapur dengan muka selamba.
………………………………..
“Sofie! Tunggu aku!” Aku yang sedang berjalan laju menuju ke kereta jadi terhenti langkahnya. Aku baru sahaja tamat kuliah di UM. Siapa pula yang mengganggu aku ini?
Aku menoleh ke belakang. Susuk tubuh Rafique menyapa pandanganku. Bergetar jantungku menahan rasa… rasa apa?
“Aku ada berita baik!”
“Apa dia?” soalku tidak sabar.
“Papa dan mama aku bagi aku duduk di rumah sewa. Ya Allah, bersyukur sangat.”
“Wow, good. Congrats then,” ujar aku sedikit teruja. Ternyata nasihat aku berjaya.
“I should thanks to you. Kau yang tolong aku selama ni. Kau yang bagi semangat pada aku. Terima kasih sangat.” Rafique tersenyum senget. Aku terkedu mendengar kata-katanya. Ternyata ayat seikhlas hati itu begitu hebat sehingga mampu menggetarkan jiwa aku yang kebal ini.
“Oklah, aku blah dulu. Assalamualaikum. Bye, Nurul Ilhami Sofie!” Rafique sengaja memanggil nama penuhku. Dari ekor mataku, aku melihat dia berlari anak menuju ke keretanya.
Entah sejak bila aku berperasaan sebegini, aku sendiri tidak mampu mengandaikan. Beberapa tahun lalu ketika di sekolah menengah, aku pernah merasakan getaran yang sama terhadap dia tapi, ia tidak sekuat sekarang.
Mustahil. Ini bukan rasa itu. Katakan wahai hati, ini bukan rasa itu. Aku tidak boleh merasakan itu terhadap Rafique. Dia cuma menganggap aku seperti sahabatnya sahaja. Tidak lebih daripada itu. Tetapi aku? Kenapa aku menganggap dia lebih daripada seorang rakan? Apa mungkin aku sudah…?
Sah, aku sudah jatuh hati kepada Rafique Khairil bin Kamarul Bahrin. Lelaki yang selama ini ku anggap kawan rapat. Lelaki yang selama ini aku dengar segala luahan hatinya. Lelaki sweet talker yang menjadi kegilaan ramai gadis.
Baru aku ingat, bahawa dia sentiasa diburu cinta gadis-gadis. Mana mungkin aku mampu bersaing dengan mereka. Mereka itu tentunya berjuta-juta kali lebih menarik berbanding aku. Terima kasih Sofie kerana sedar perkara itu.
Oh ya, aku juga terlupa bahawa hati dia sudah berpunya. Sudah sekian lama dia sukakan rakan sekolah rendahnya. Kalaulah tidak silap, namanya Irdina. Memang lawalah si Irdina. Pandai benar Rafique memilih.
Sekali lagi, aku tak mungkin dapat berada di hatinya.
Mungkin dia bukanlah jodohku. Mungkin yang tertulis hanyalah hubungan yang tak lebih dari seorang kawan.
…………………………….
Kini, Rafique berada di rumahku. Untuk apa? Tentunya untuk meluahkan segala masalah yang menimpanya.
“Aku ingat masalah keluarga kau sudah selesai. Ada masalah apa pula kali ini?” soalku kehairanan. Wajahnya seperti biasa kelihatan serabut.
“Kali ni, bukan masalah keluarga. Tapi… alaa, seganlah nak cerita.” Sengaja dia mengada-ngada. Ayahku yang berada di ruang kerja tentunya mendengar kata-katanya.
Tanganku mengangkat penumbuk melebihi paras kepalanya. “Baik kau cakap sebelum aku hempuk kau.” Aku sedikit mengugut. Dia membuat muka selamba, tanda dia tidak takut dengan ancaman itu.
“Kali ini, aku ada masalah… cinta. Boleh kau tolong?”
Tersentak aku mendengar kata-katanya. Terasa ada sesuatu yang menghempap jantungku. Tanpa aku sedar, aku mengangguk lemah.
“Kau tahu, aku sebenarnya dah lama pendam semua ni. Sumpah terseksa simpan lama-lama. So, aku nak mintak tolong kau. Aku rasa kau seorang saja yang boleh tolong aku sekarang ni.”
Terubat sedikit hati aku mendengar kata-kata Rafique. Terasa dihargai. Namun bila diingat semula apa yang ingin dia katakan, hati ini rasa diremuk kasar.
“Sebenarnya, aku sukakan seorang perempuan. Sejak kita sekolah menengah kut. Lama gila. Before ni, pernah juga aku sukakan perempuan. Tapi, kali ini, aku tak pernah sukakan perempuan sebagaimana aku sukakan dia.”
Hatiku meronta meminta izin daripadaku untuk beredar. Tidak selesa dengan situasi yang berlaku. Aku seperti ingin bangkit, masuk bilik, mencapai bantal dan menangis.
“Dia macam gila-gila sikit tau. Tak skema sangat, tak hot sangat. Sebab tulah aku sukakan dia. Kau pun tahu kan aku suka orang yang macam tu kan?” Rafique memandang wajahku dengan senyuman senget di bibir. Aku mengangguk kecil. “Dia budak sekolah kita ke?”
“Yes.”
“Budak batch kita?”
“Yes.”
“Dia ambil aliran sains agama ke sains tulen? Takpun sains teknikal.”
“Sains tulen. Macam kita.”
“Rumah sukan dia?”
“Hijau.”
Tergamam aku mendengar jawapannya. Dahulu, dorm kami diasingkan mengikut rumah sukan. Setiap rumah ada lima dorm. Aku sendiri rumah hijau. Tidak sangka orang yang Rafique suka begitu hampir dengan diriku.
“Serius rumah hijau?”
“Yalah. Dorm kau pulak tu.”
Jatuh rahang aku mendengar kata-katanya. Aku dorm Hijau C. Budak itu satu dorm dengan aku pula. Siapa pula ini? Dormate aku yang mana ni? Nana atau Riya? Dua-dua pelajar sains tulen. Ya Allah, apa lagi kejutan yang akan aku terima ni?
“Boleh kau beritahu aku siapa?” pintaku sambil mengelip-ngelipkan mata, memohon simpati. Aku betul-betul perlu tahu. By hook or by crook, I really need to know it.
Riak wajahnya pantas berubah resah. “Kenapa kau nak tahu?” Alahai, mamat ni. Orang dah tanya tu, jawab sajalah.
“Dah kau cerita kat aku, beritahu sajalah siapa orangnya!” Aku mula naik suara. Kelibat ayah di ruang kerja sudah tidak aku hiraukan lagi.
“Alah, segan lah wehh…” Belum sempat dia meneruskan kata, aku sudah memotong. “Rafique Khairil!”
“Orang tu adalah Sofie!” Itu yang terlepas di bibirnya. Pantas dia menekup mulutnya. Ish, mamat ni. Nak beritahu itu pun susah. Bukan nak confess feeling kat aku pun.
Sekejap, dia sebut nama aku ke?
Dia sebut Sofie ke?
Bunga-bunga cinta mula menerawang di hati. Sekarang ni, aku nak pergi jumpa Doraemon, minta alat untuk memberhentikan masa. Biar waktu ini takkan berlalu selamanya.
Ayah sudah tersengih-sengih mahu mengusik. Rafique masih lagi menekup mulut. Aku? Tidak perlu tanya. Sudah berlebihan pula blusher di pipi ini.
“Err, aku rasa kau patut balik sekarang…” Aku bangkit mahu mengangkat cawan ke dapur. Hakikat sebenar, aku mahu melarikan diri daripadanya. Segannya nak berjumpa dengan Rafique lagi!
“Sofie, duduk.” Dua patah perkataan itu kedengaran begitu tegas di pendengaranku menyebabkan aku terduduk di atas sofa.
“Selama lima tahun kita satu sekolah, selama itu jugak aku rasa sesuatu yang pelik bila bersama kau. Tingkatan satu, aku terlalu muda untuk menilai. Tingkatan dua, zaman kenakalan yang teramat sangat bermula dan aku tidak sempat menilai. Tingkatan tiga, terpaksa serius menghadapi PMR dan aku hampir boleh menilai.
“Masuk tingkatan empat, aku mula faham apa yang aku rasa. Tapi masa tu, kau kena psycho gila-gila dengan si Qimy. Aku takut kau sukakan dia, jadi aku tak beritahu. Tingkatan lima, kau dah tak kena psycho dengan Qimy. Masalahnya, tahun tu tahun penentu SPM. Disebabkan aku nak fokus, aku cuba tahan. Tapi, macam mana nak tahan sedangkan kau adalah classmate aku dan jugak mentor AddMaths aku? Aku berjumpa dengan kau hampir setiap hari. Perasaan yang cuba aku buang tu, makin bercambah dan tidak pernah berhenti.”
Penjelasan yang cukup jujur itu tepat mengenai titik halus yang bersembunyi di hatiku. Air mata mula bergenang di pelupuk mata.
Rafique bangkit dari tempat duduknya. Berjalan terus menuju ke ruang kerja. Apa dia buat tu?
“Uncle, kita kenal dah lama kan? Restuilah saya dan Sofie. Saya akan membahagiakan dia uncle. Saya janji!” ujar Rafique bersungguh-sungguh. Siap angkat tangan ala-ala nak baca ikrar.
Ayah mengurut dagu penuh drama. Ahh, ini tidak lain tidak bukan sudah mula drama zaman purbanya. Nampak sangat ayah sengaja mahu main-main.
“Apa tuan hamba berasa diri tuan hamba layak untuk bergandingan dengan anak dara beta ini?” Ayah mula merapu. Rafique tersengih-sengih mendengar madah bicara ayahku. Terpapar jelas reaksi nakal di wajah Rafique.
“Patik yakin, Patik pasti. Patik layak untuk memperisterikan Nurul Ilhami Sofie, anakanda kesayangan tuanku. Restuilah kami, tuanku!” Rafique ini pun satu, yang dilayannya ayah itu kenapa?
“Baiklah, beta merestui. Akan tetapi, lebih baik sekiranya tuan hamba bertanya kepada tuan punya badan dahulu.”
Rafique mengangguk laju sambil tersengih lebar. Bangga betul mamat ni sudah dapat restu. Dia pantas bangkit mendekati aku.
“Sofie, ayah kau dah restu. Jom kahwin?”
Tanpa sedar, air mata mula membasahi pipi. Hatiku yang kebal ini ternyata kalah dengan kata-kata biasa daripada Rafique. Perlahan-lahan, aku mengangguk kecil sambil menekup mulut, cuba menahan tangisan.
Tisu dihulur lembut sambil tersenyum manis. Bibirnya menuturkan kata-kata, yang makin membuatkan pipiku basah.
“Terima kasih, kaunselor cintaku.”
Terima kasih Allah, atas nikmat kebahagiaan yang Engkau berikan kepadaku. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.
TAMAT
P/s : Kalau tak best, sila beritahu. Insha Allah akan diperbaiki lagi. :)
ehehehehehehehehehehehhh. rumah hijau ye. hmmm
ReplyDelete